HomeUtamaLebih 2,400 pelajar UiTM terima bantuan SENTOSA daripada Kerajaan Negeri

Lebih 2,400 pelajar UiTM terima bantuan SENTOSA daripada Kerajaan Negeri

Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Seramai 2,477 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah hari ini menerima bantuan pendidikan one-off di bawah program Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri Sabah (SENTOSA) bagi meringankan beban kewangan pelajar yang melanjutkan pengajian tinggi dalam negeri.

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan RM6 juta oleh Kerajaan Negeri Sabah bagi manfaat kira-kira 20,000 pelajar Bumiputera yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negeri, dengan setiap pelajar yang layak menerima bantuan tunai sebanyak RM300.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, ketika merasmikan majlis penyerahan bantuan itu di Dewan Al-Bukhari, UiTM Kota Kinabalu, berkata bantuan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa pembangunan modal insan melalui bidang pendidikan.

“Pendidikan adalah asas penting dalam membentuk generasi masa depan yang berilmu, berkemampuan dan beretika. Kerajaan Negeri serius memastikan tiada anak Sabah yang tercicir daripada agenda pendidikan nasional,” katanya.

Masidi turut memaklumkan bahawa program SENTOSA merupakan satu daripada 13 bentuk bantuan berkaitan pendidikan yang dilaksanakan tahun ini, melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM75.5 juta.

Bantuan lain termasuk penyelenggaraan sekolah, anugerah kecemerlangan pelajar, sokongan peperiksaan, subsidi penerbangan untuk pelajar di luar Sabah, serta bantuan komputer.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan sebanyak RM125 juta melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kepada 4,170 pelajar, manakala Yayasan Sabah pula memperuntukkan RM11.25 juta untuk biasiswa, pinjaman pelajaran dan geran yang memanfaatkan seramai 1,879 pelajar.

Masidi turut menyeru semua pihak agar terus bekerjasama memastikan generasi muda Sabah menerima sokongan pendidikan yang mencukupi bagi menjamin kejayaan mereka.

Majlis tersebut dianjurkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dengan kerjasama UiTM Cawangan Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

15 saintis UMS tersenarai dalam dua peratus Saintis Terbaik Dunia 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular