Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kerajaan negeri diminta memberi tumpuan khusus terhadap isu perumahan mampu milik, terutama bagi golongan muda dan keluarga baharu, dalam Bajet Tambahan Negeri menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pembekalan Tambahan 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal berkata, masalah perumahan dalam kalangan anak muda kini kian meruncing, sejajar dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
“Keperluan yang perlu kerajaan ambil penting sekarang adalah perumahan. Masalah perumahan di kalangan keluarga muda, anak-anak muda yang baru berkeluarga dan baru sahaja bekerja,” katanya ketika ditemui media selepas perasmian Seminar & Ujian Kecergasan Tahunan Pengadil Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah, di sini malam tadi.
Rina menekankan bahawa keadaan akan menjadi lebih mendesak jika kerajaan tidak bersedia lebih awal dalam merangka dasar serta menyediakan kemudahan perumahan yang mampu milik untuk generasi muda.
“Bila populasi keperluan itu sudah terlalu mendesak, kita masih belum bersedia dan ini yang agak merisaukan. Kita perlu memastikan ada jaminan perumahan mampu milik agar dapat memenuhi keperluan para belia.
“Ini sajalah yang penting untuk kita perjuangkan. Saya berharap kerajaan negeri fokus ke arah itu,” tegasnya.
Beliau juga berharap agar kerajaan negeri memberi tumpuan sepenuhnya terhadap agenda tersebut demi menjamin masa depan anak muda, sejajar dengan perubahan zaman dan cabaran kos sara hidup masa kini.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu golongan mualaf yang disifatkannya sebagai “terpinggir” selepas memeluk Islam.
Menurutnya, keperluan untuk menyediakan sokongan berterusan, khususnya dalam pendidikan asas agama adalah perlu dengan kerjasama antara NGO dan agensi agama diperkukuhkan serta birokrasi dikurangkan untuk mempercepatkan bantuan.
“Ramai di antara mereka tidak mendapat bimbingan lanjut. Kita perlu pastikan mereka tidak tersisih,” ujarnya sambil memohon agar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) membantu komuniti kecil dan surau-surau kampung yang tidak berdaftar.