Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus memperhebat penguatkuasaan terhadap penjaja yang ingkar peraturan menerusi dua operasi berasingan yang dijalankan di Pasar Besar Kota Kinabalu dan Pasar Ikan Kota Kinabalu, semalam.
Operasi yang diketuai Jabatan Pelesenan DBKK itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan pasar awam di bandar raya ini kekal bersih, tersusun dan mematuhi peraturan sedia ada.

Dalam pemeriksaan sekitar jam 6.30 pagi di kawasan tempat letak kereta Pasar Besar Kota Kinabalu, dua penjaja berjaya dikesan menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.
Susulan itu, pihak berkuasa telah menyita tiga plastik sagu dan dua kerusi yang digunakan dalam aktiviti perniagaan haram berkenaan.
Operasi diteruskan pada jam 8 pagi di Pasar Ikan Kota Kinabalu, yang menyaksikan beberapa penjaja masih gagal mematuhi arahan mengenai penyimpanan peralatan niaga di lokasi yang ditetapkan, meskipun telah diberikan notis dan peringatan sebelum ini.
Antara barangan yang dirampas termasuk dua tong buah oren, tiga kerusi kayu, tiga meja kayu dan satu raga.

Sementara itu, DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan penguatkuasaan itu adalah sebahagian daripada pendekatan berperingkat bagi mendidik dan mengawal aktiviti penjajaan.
Selain itu, penguatkuasaan itu juga adalah bagi memastikan suasana pasar awam kekal kondusif dan selamat untuk pengunjung serta peniaga lain.
“Semua penjaja diseru supaya sentiasa mematuhi syarat lesen dan menjaga kebersihan kawasan niaga.
“Tindakan tegas seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menjamin imej bandar raya dan keselesaan umum,” menurut kenyataan itu di sini pada Khamis.
DBKK turut mengingatkan bahawa tiada kompromi terhadap pelanggaran peraturan, dan kerjasama daripada semua penjaja amat diperlukan untuk mewujudkan persekitaran niaga yang berdisiplin, harmoni dan berdaya saing.
“Dengan pelaksanaan operasi ini, DBKK sekali lagi menegaskan komitmennya dalam menegakkan undang-undang dan memastikan kelestarian pasar awam sebagai pusat ekonomi komuniti yang bersih, selamat dan teratur, ” tambah kenyataan itu lagi. – Chronivo