HomeUtamaTVET Sabah diperluas ke sekolah, tahfiz

TVET Sabah diperluas ke sekolah, tahfiz

Read Time:1 Minute, 41 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah akan memperluas pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini ke sekolah arus perdana termasuk institusi tahfiz.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, program yang kini diangkat sebagai agenda utama pembangunan modal insan di Sabah dijangka menjadi pemangkin kepada gerakan TVET yang lebih tersusun di negeri ini.

Katanya, ia selepas Majlis TVET Negeri Sabah ditubuhkan dan dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini.

“TVET ini bukan sekadar pilihan, tetapi adalah satu keperluan untuk kita di negeri Sabah dan kita sedang menyelaras, menyusun program berhubung dengan TVET ini.

“Kita juga akan menyelaras dengan sekolah-sekolah berhubung dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan ini ada hubungan dengan TVET selain beberapa program juga akan kita usahakan, antaranya berhubung dengan bagaimana kita boleh masuk ke sekolah-sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Simposium TVET Sabah di sini pada Rabu.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, program TVET juga dicadang untuk diperluas ke pusat tahfiz termasuklah Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sabah (ITQAS).

“Inisiatif baharu turut diperluaskan ke institusi tahfiz melalui konsep TVET Tahfiz yang akan dilaksanakan secara rintis di dua lokasi, termasuk di ITQAS. Usaha ini dijalankan menerusi kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dan beberapa maahad tahfiz terpilih.

“TVET Tahfiz adalah satu pendekatan inklusif yang memberi ruang kepada pelajar tahfiz untuk memperoleh kemahiran teknikal tanpa mengabaikan pendidikan agama.

“Ini selari dengan saranan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi TVET Negara, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan memberi kesedaran tentang manfaat TVET kepada seluruh lapisan masyarakat, khususnya golongan muda, agar mereka melihat bidang ini sebagai laluan kerjaya yang menjanjikan masa depan cerah.

“Seperti ditegaskan oleh Ketua Menteri, TVET mampu menjana peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri. Inilah masa untuk kita bangunkan tenaga mahir tempatan secara bersepadu,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular