KOTA KINABALU: SMJ Energy menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak menyertai tawaran Kluster Mutiara adalah selaras dengan strategi pelaburan berhati-hati syarikat yang memberi keutamaan kepada pengambilalihan aset minyak dan gas yang telah terbukti menguntungkan dan menjana aliran tunai kukuh.
Menerusi kenyataan media SMJ Energy hari ini, syarikat itu menegaskan bahawa pendekatan tersebut adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh bagi membangunkan portfolio minyak dan gas yang seimbang serta mampan untuk kepentingan jangka panjang negeri Sabah.
Melalui SMJ Energy, antara keutamaan utama Kerajaan Negeri Sabah adalah untuk mendapatkan perkongsian hasil yang lebih besar serta penglibatan dan suara yang lebih bermakna dalam pembangunan sektor minyak dan gas di Sabah menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai bersama Petronas.
Sejak penubuhannya, SMJ Energy telah berkembang menjadi syarikat bernilai RM5 bilion, dengan pegangan kepentingan yang signifikan dalam aset utama. Ini termasuk 50 peratus dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang, 10 peratus dalam LNG9 dan 25 peratus dalam Loji Petrokimia SAMUR, kesemuanya merupakan aset pengeluaran yang menguntungkan dan menjana aliran tunai yang kukuh.
Sebagai sebuah syarikat baharu, SMJ Energy berjaya mengisytiharkan dividen berjumlah RM160 juta dalam tempoh kurang daripada tiga tahun satu pencapaian yang mencerminkan keupayaan aset-asetnya.
“Minyak dan gas adalah industri yang berisiko tinggi serta memerlukan pelaburan modal yang besar. Kegagalan dalam aktiviti penerokaan boleh mengakibatkan kerugian sehingga ratusan juta atau berbilion ringgit,” jelas kenyataan itu.
Memandangkan kedudukan kewangan negeri serta keutamaan agihan sumber yang lain, strategi SMJ Energy adalah untuk bertindak sebagai pelabur kewangan yang berhemah dengan menumpukan kepada pengambilalihan aset pengeluaran sedia ada yang menguntungkan serta dikendalikan oleh pengendali bereputasi tinggi dengan rekod pencapaian cemerlang dalam aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Bagi prospek penerokaan pula, SMJ Energy mengambil pendekatan mengurangkan risiko pelaburan melalui pemilikan free carry atau back-in rights, di mana penyertaan hanya dipertimbangkan selepas kejayaan penerokaan, tanpa menanggung kos besar pada peringkat awal. Sehingga kini, SMJ Energy memiliki hak free carry dan back-in rights dalam SB409 (20%), SB403 (20%), SB306A (7.5%) dan SB306B (7.5%).
“Prospek seperti Mutiara Cluster memerlukan penilaian lanjut dari segi penerokaan dan pembangunan serta memerlukan pelaburan besar dengan tahap ketidakpastian yang tinggi. Justeru, ia bukan keutamaan kami pada masa ini,” menurut kenyataan itu lagi.
Apa yang penting, menerusi CCA, SMJ Energy mempunyai hak untuk memperoleh aset Discovered Resource Opportunities (DRO) daripada Petronas selepas ia berjaya dibangunkan.
Pendekatan ini mencerminkan pengurusan risiko strategik SMJ Energy yang bertanggungjawab dalam membangunkan portfolio seimbang dalam sektor huluan minyak dan gas, LNG dan petrokimia, sambil mengambil kira kepentingan kewangan jangka panjang Negeri Sabah.
“SMJ Energy dijangka mengumumkan perkembangan serta pengambilalihan strategik yang baharu pada masa yang sesuai, sejajar dengan strategi yang telah digariskan,” tambah kenyataan itu.