HomeUtamaSabah perkukuh akses pendidikan berkualiti melalui pelbagai inisiatif baharu

Sabah perkukuh akses pendidikan berkualiti melalui pelbagai inisiatif baharu

Read Time:2 Minute, 16 Second

Tuaran : Kerajaan Negeri terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa sektor pendidikan negeri dengan memperuntukkan lebih RM1.33 bilion bagi pembangunan modal insan sejak tahun 2021.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bidang pendidikan kekal menjadi keutamaan Kerajaan Negeri selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, dalam tempoh 2021 hingga 2024, Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM848.26 juta untuk pelbagai bentuk bantuan pendidikan termasuk Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), disamping RM485 juta khusus bagi pembangunan modal insan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melakukan gimik perasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Peringkat Negeri Kali Ke-3 ,Tahun 2025 di Dewan Seri Sulaman, Tuaran pada Rabu.

Menurutnya, sebanyak 14 inisiatif baharu turut dilaksanakan dari tahun 2021 hingga 2025, melibatkan peruntukan sebanyak RM164.14 juta dan memanfaatkan kepada 210,918 pelajar.

Beliau berkata, antara inisiatif itu ialah Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah, Sumbangan Mahasiswa Pendidikan Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), dan Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI).

“Semua inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dan pelajar serta memperkasa akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Peringkat Negeri Sabah Kali Ketiga Tahun 2025 di Dewan Seri Sulaman di sini pada Rabu.

Hajiji berkata, bagi memenuhi keperluan pasaran kerja masa hadapan, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis TVET Negeri Sabah (MTS) pada Mei lalu sebagai langkah strategik menyelaras lebih 160 institusi latihan teknikal dan vokasional di seluruh negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri juga telah menawarkan bantuan tunai RM1,000 kepada 146 pelajar cemerlang STPM 2024 dan RM3,000 kepada seorang pelajar Sabah yang cemerlang di peringkat kebangsaan.

“Pencapaian cemerlang pelajar-pelajar ini merupakan cerminan daripada usaha berterusan, kegigihan para guru, sokongan ibu bapa serta keberkesanan sistem pendidikan kita,” katanya.

Menurutnya, pencapaian pelajar Sabah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila Gred Purata Negeri (GPN) meningkat kepada 5.00 mata berbanding 5.09 pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua guru agar terus menunjukkan komitmen, keikhlasan dan dedikasi dalam melaksanakan amanah sebagai pendidik kepada anak-anak di seluruh pelusuk Sabah.

Hajiji berkata, MAPenS Kali Ketiga anjuran Jabatan Pendidikan Negeri itu, menghimpunkan warga pendidik dari seluruh negeri bagi meraikan kecemerlangan pengurusan sekolah serta memberi penghargaan kepada guru-guru berprestasi tinggi.

“Majlis ini amat besar maknanya kerana ia mengiktiraf jasa dan sumbangan warga pendidik. Pengiktirafan ini bukan sekadar simbolik, malah menjadi pendorong kepada semua guru dan pentadbir untuk terus memartabatkan pendidikan di Sabah,” katanya.

Beliau juga merakamkan ucapan penghargaan kepada Tokoh Guru dan Tokoh Kepimpinan yang dinobatkan sempena majlis tersebut.

Katanya, pengiktirafan itu adalah simbol penghormatan terhadap jasa, pengorbanan dan komitmen luar biasa warga pendidik dalam membentuk generasi masa depan. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah ada kuasa tentukan siapa boleh masuk negeri – Hajiji Noor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular