HomeUtamaRogol dan amang seksual anak kandung: Bapa dipenjara 26 tahun, 15 sebatan

Rogol dan amang seksual anak kandung: Bapa dipenjara 26 tahun, 15 sebatan

Read Time:2 Minute, 24 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan, yang isterinya kini sedang hamil, dihukum penjara 26 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua orang anak kandungnya.

Mangsa pertama, yang dirogol tertuduh, kini hamil lima bulan.

Tertuduh berusia 36 tahun itu membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Hurman Hussain selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara 13 tahun dan 10 sebatan kerana merogol anak perempuannya berusia 12 tahun antara Januari hingga Februari 2025, di sebuah rumah tidak bernombor di daerah Ranau.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dipenjara 10 tahun dan tiga sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang berusia 11 tahun sekitar tahun 2024, di tempat yang sama.

Dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Disebabkan hubungan dengan mangsa, lelaki itu turut dipenjara tiga tahun lagi berserta dua sebatan sebagai hukuman tambahan mengikut Seksyen 16(1) SOACA yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat sekurang-kurangnya dua sebatan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian terbongkar apabila seorang guru mengesyaki mangsa pertama hamil, yang akhirnya membawa kepada pendedahan oleh mangsa sendiri.

Selepas mengetahui kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan polis. Hasil siasatan mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa adalah anak kandung tertuduh. Mangsa pertama telah dirogol sejak tahun 2023, manakala mangsa kedua menjadi mangsa amang seksual fizikal.

Tertuduh ditangkap pada 17 Jun susulan laporan tersebut.

Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan atas alasan mempunyai tanggungan, iaitu seorang isteri yang sedang hamil, empat orang anak serta ibu bapanya.

Dia turut memohon agar hukuman bagi kedua-dua kes berjalan serentak.

Timbalan Pendakwa Raya, Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir, memohon agar hukuman berat dikenakan serta diperintahkan berjalan secara berasingan bagi setiap kes.

Beliau berkata, dalam kes ini tertuduh adalah bapa kandung kepada mangsa dan sepatutnya menjadi individu yang melindungi mereka lebih-lebih lagi memandangkan mangsa (kes rogol) ialah seorang kanak-kanak yang mengalami “learning disability”.

Mangsa sangat bergantung kepada orang sekeliling kerana keupayaannya untuk mempertahankan diri adalah terhad, begitu juga dengan kebolehannya untuk mendapatkan bantuan atau memahami bahawa dirinya telah menjadi mangsa salah laku seksual.

Tindakan tertuduh pastinya akan meninggalkan trauma emosi dan psikologi yang mendalam terhadap mangsa.

“Mangsa kini hamil lima bulan dan hasil siasatan mendapati tertuduh dipercayai merupakan bapa kepada janin, memandangkan mangsa tidak mempunyai, atau hampir tiada, interaksi dengan mana-mana lelaki lain.

“Oleh itu, kami memohon agar hukuman yang lebih berat dijatuhkan ke atas Tertuduh, bukan sahaja sebagai pengajaran kepada masyarakat umum dan untuk menunjukkan bahawa mahkamah memandang serius kesalahan sebegini, tetapi juga sebagai pencegahan kepada tertuduh sendiri daripada mengulangi perbuatan keji ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular