Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kepentingan memelihara alam sekitar, khususnya menghindari amalan pembakaran terbuka yang boleh memudaratkan kesihatan awam dan mempercepatkan perubahan iklim perlu diberi penekanan kepada masyarakat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, program seperti ini amat penting untuk memberi kefahaman kepada masyarakat, khususnya pemimpin komuniti tentang perlunya menjaga alam sekitar.
“Kalau hutan sudah habis terbakar, asapnya akan menjejaskan kualiti udara, meningkatkan karbon dioksida yang menyumbang kepada pemanasan global. Hutan ini sebenarnya perangkap karbon yang membantu menstabilkan suhu bumi dan menghasilkan oksigen untuk kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan perasmian penutupan Program Kesedaran Larangan Pembakaran Terbuka Bersama Pemimpin Komuniti Daerah Tawau yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah di Dewan Masyarakat Tawau, di sini baru-baru ini.
Hadir sama pada program itu ialah Timbalan Pengarah JAS, Yuras Yusup dan Pegawai Kesihatan Alam Sekitar Tawau, Dr. Jalil Tiru.
Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga alam sekitar bukan hanya terletak pada bahu JAS semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pemimpin masyarakat dan orang ramai.
Selain larangan pembakaran terbuka, program itu juga turut memfokuskan aspek pengurusan sisa pepejal secara teratur, termasuk pelupusan peralatan elektronik seperti TV, oven dan telefon bimbit yang memerlukan kaedah khusus bagi mengelakkan pencemaran kimia.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 melalui Program Pencegahan dan Pemantauan Kebakaran Tanah Gambut serta program Communication, Education and Public Awareness (CEPA) yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai.
Dalam ucapannya, Nizam turut mengimbau insiden kebakaran besar yang berlaku pada tahun 2016 ketika fenomena El Nino melanda negara, sehingga menyebabkan jerebu setempat di Keningau, Beaufort dan Kuala Penyu, memaksa sekolah-sekolah ditutup serta menjejaskan kesihatan dan sosio-ekonomi penduduk.
“Kita tidak mahu peristiwa sama berulang. Pembakaran terbuka tanpa kawalan adalah salah satu punca utama kebakaran besar. Musibah ini boleh dielak jika kita semua mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau berharap semua peserta dapat menyebarkan ilmu yang diperoleh kepada keluarga dan komuniti masing-masing bagi memastikan kualiti udara terpelihara, sekali gus menjamin kelestarian alam sekitar untuk dinikmati generasi akan datang.