HomeUtamaAnwar: ASEAN Perlu Kekal Bersatu dan Tentukan Arah Sendiri

Anwar: ASEAN Perlu Kekal Bersatu dan Tentukan Arah Sendiri

Read Time:1 Minute, 38 Second

KUALA LUMPUR, 9 Julai 2025 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru ASEAN agar terus bersatu, memperkukuh kerjasama, dan menolak sebarang cubaan kuasa luar menentukan hala tuju rantau ini.

Berucap semasa merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58, Anwar menekankan pentingnya “ASEAN Centrality” dalam menghadapi cabaran global seperti konflik di Gaza, Ukraine dan Myanmar, serta ketegangan di Timur Tengah.

“Kita tidak boleh membenarkan keputusan mengenai rantau ini dibuat tanpa kita. ASEAN mesti berdiri mempertahankan prinsip dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap trend global di mana perdagangan dan pelaburan kini digunakan sebagai alat tekanan geopolitik, dan menyeru agar dasar luar dan dasar ekonomi ASEAN diselaraskan secara lebih rapat.

Anwar juga menekankan keperluan memperkukuh perdagangan dalam kalangan negara anggota serta menumpukan kerjasama dalam bidang pendidikan, kesihatan, makanan, digital dan perubahan iklim katanya ketika berucap pada pembukaan mesyuarat itu.

Mesyuarat dihadiri Menteri-menteri Luar ASEAN, Menteri Luar Timor-Leste dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Keutamaan kepada Keberhasilan Nyata

Di dalam ucapannya itu lagi, Perdana Menteri turut menekankan bahawa ASEAN mesti terus menumpukan kepada kerjasama yang memberi manfaat nyata kepada rakyat seperti kesalinghubungan, keselamatan makanan, pendidikan, kesihatan awam, transformasi digital dan ketahanan iklim.

Beliau menggambarkan aspirasi ASEAN melalui kisah rakyat biasa di Batambang, Luzon dan Chiang Rai – menekankan bahawa kejayaan ASEAN terletak pada impak kepada kehidupan rakyat, bukan sekadar dalam kenyataan bersama.

“Dari Sittwe ke Merauke, dari Da Nang ke Dili, rantau ini boleh menjadi lebih aman dan makmur — jika kita berani melihat ASEAN sebagai satu komuniti yang bergerak dengan tujuan bersama.”

Mengakhiri ucapannya, Anwar menyatakan keyakinan bahawa ASEAN akan terus kekal sebagai rantau yang padu, berdaya tahan dan dihormati.

“Marilah kita perbaharui iltizam bahawa ASEAN akan terus menjadi suara yang konsisten, berprinsip dan berpandangan jauh,” katanya sebelum merasmikan mesyuarat tersebut.

Mesyuarat kali ini juga mencatat sejarah penting dengan penyertaan Timor-Leste sebagai ahli ASEAN yang bakal disahkan secara rasmi pada Oktober ini – satu langkah yang sentiasa disokong oleh Malaysia.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular