HomePolitik“Terpulang kepada Ketua Menteri” – Hajiji beri bayangan PRN Sabah semakin hampir

“Terpulang kepada Ketua Menteri” – Hajiji beri bayangan PRN Sabah semakin hampir

Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: “Terpulang kepada Ketua Menteri.” Itu reaksi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditanya sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Hajiji berkata, semua urusan persidangan DUN telah selesai dengan kelulusan beberapa rang undang-undang penting termasuk berkaitan karbon, hutan, tanah serta Anggaran Perbelanjaan Tambahan (ASP) bagi keperluan pengurusan dan pembangunan negeri sehingga hujung tahun.

“Persidangan Dewan Undangan Negeri telah pun selesai. Semua rang undang-undang telah pun diluluskan. Jadi, apa yang kita lakukan ini adalah untuk kebaikan negeri Sabah, terutama sekali rang undang-undang mengenai karbon, hutan dan tanah.

“Kita juga telah meluluskan peruntukan tambahan yang diperlukan kerajaan dalam aspek pengurusan dan pembangunan sehingga akhir tahun,” katanya pada sidang media selepas persidangan DUN Sabah di sini, hari ini.

Mengulas pencapaian sepanjang hampir lima tahun pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi impak langsung kepada rakyat, termasuk menangani isu-isu asas yang telah lama tertangguh.

“Kita sudah buat yang terbaik untuk rakyat, walaupun masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Masalah air yang diwarisi sejak dahulu sedang ditangani melalui projek menaik taraf loji rawatan air di seluruh negeri. Begitu juga dengan projek jalan raya dan pembangunan lain.

“Banyak inisiatif kerajaan hari ini tidak pernah dilakukan sebelum ini termasuk kebajikan, bantuan pendidikan, pembinaan rumah rakyat dan pembangunan modal insan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau sedia memberikan bayangan tarikh PRN, Hajiji secara berseloroh berkata:

“Itu tidak boleh saya bagi sekarang. Kalau kita sudah tetapkan, nanti kita akan panggil semua rakan media untuk umumkan tarikhnya. Sabar… tidak lama lagi.”

“Terpulang kepada Ketua Menteri. Saya mimpi dulu. Kita akan pilih tarikh yang paling baik,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan rundingan pembahagian kerusi antara parti-parti politik telah dimulakan dan kini berada di peringkat akhir.

“Perbincangan kerusi sedang diperhalusi. Kita sudah mengadakan satu hingga dua pertemuan dengan rakan-rakan berkaitan dan akan dimuktamadkan sebelum Dewan dibubarkan.

“Yang jelas sekarang, kerajaan hari ini adalah Gabungan Rakyat Sabah–Pakatan Harapan (GRS-PH). Itu asas kita. Yang lain kita lihat nanti,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular