Kota Kinabalu: Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) kini melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi inisiatif Klinik Nasihat Guaman Percuma.
Presiden SLS, Datuk Mohamad Nizam Maduarin berkata, persatuan itu merupakan satu-satunya badan yang mengawal selia profesion undang-undang di negeri ini.
Selain itu katanya, SLS turut berperanan memantau etika amalan guaman dan aktif menjayakan program berbentuk kemasyarakatan.
“Salah satu inisiatif utama program tanggungjawab sosial korporat ialah Klinik Nasihat Guaman Percuma yang diadakan setiap hari Sabtu jam 9 pagi hingga 12 tengah hari di sekretariat kami di Tingkat 6, Menara MAA.

”Orang awam boleh hadir secara walk-in tanpa sebarang bayaran dan boleh mendapatkan khidmat nasihat dalam apa jua bidang undang-undang.
”Dua orang peguam sukarelawan ditugaskan setiap minggu untuk mengendalikan sesi konsultasi guaman tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, di sini pada Isnin.
Kunjungan tersebut bertujuan memberi taklimat aktiviti SLS dan menjemput Tun Musa menghadiri Opening Of The Legal Year Gala Dinner 2026 yang akan diadakan Januari depan.
Beliau berkata, SLS juga terlibat aktif dalam program Mobile Court yang dianjurkan oleh pihak mahkamah dengan membuka kaunter nasihat guaman serta membantu semakan dokumen di lokasi-lokasi terpilih di luar bandar.
SLS asalnya dikenali sebagai Sabah Law Association sejak tahun 1960-an sebelum dinaik taraf menjadi badan berkanun pada 2017 dan kini beroperasi di bawah Advocates Ordinance tersendiri.
Sehingga Januari 2025, seramai 861 peguam didaftarkan dalam amalan guaman swasta di Sabah manakala jumlah keseluruhan ahli SLS mencecah 1,200 orang.