HomeUtamaRUU CJN diluluskan, langkah strategik perkukuh hasil Sabah

RUU CJN diluluskan, langkah strategik perkukuh hasil Sabah

Read Time:1 Minute, 25 Second

Kota Kinabalu : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan Negeri (CJN) Pindaan 2025.

RUU yang dibentangkan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun itu disokong sebulat suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir.

Masidi berkata, RUU itu merupakan satu langkah penting dan strategik oleh Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuh sistem percukaian yang menjadi tunjang utama kepada sumber hasil negeri.

Katanya, pindaan ini bukan semata-mata bersifat teknikal, tetapi merupakan usaha holistik untuk memastikan undang-undang CJN terus responsif, adil dan efisien dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks dan dinamik.

“Sebanyak 37 pindaan telah dicadangkan. Kesemua pindaan ini dirangka dengan teliti untuk memastikan pengurusan hasil negeri menjadi lebih cekap dan teratur.

“Ia dirangka bukan hanya untuk menambah kutipan hasil, tetapi juga bagi memastikan setiap proses percukaian dilaksanakan dengan penuh ketelusan, akauntabiliti dan ketegasan yang sewajarnya.

“Seperti yang telah saya terangkan dalam pembentangan awal tadi, kita juga tidak mengabaikan hak pembayar cukai, malah memberi ruang kepada penyelesaian adil melalui mekanisme rayuan, pembayaran ansuran dan taksiran komposit yang dipersetujui bersama,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu memperlihatkan bahawa Kerajaan Negeri bukan hanya bergantung dan menunggu cukai dibayar, tetapi juga bersungguh-sungguh untuk memperkukuh asas fiskal negeri dengan memperkemas sistem, menutup ruang ketirisan dan melindungi hak pembayar cukai.

“Kita mahu sistem cukai yang bukan membebankan, tetapi membantu: iaitu jelas, mudah difahami dan telus,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, menerusi RUU itu, Sabah akan dapat melangkah ke hadapan dengan lebih mantap dalam mengurus hasil negeri secara berkesan, sambil mengekalkan kepercayaan dan kerjasama yang baik dengan pembayar cukai.

“Saya yakin pindaan ini akan membawa manfaat bukan sahaja kepada pihak berkuasa cukai, tetapi juga kepada pembayar cukai melalui kejelasan dan ketelusan perundangan,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular