HomeUtamaPencapaian Pelan SMJ diiktiraf Perangkawan Negara, libat urus swasta dan komuniti diperkukuh...

Pencapaian Pelan SMJ diiktiraf Perangkawan Negara, libat urus swasta dan komuniti diperkukuh – Nizam

Read Time:1 Minute, 46 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus menerima pengiktirafan atas kecekapan pelaksanaan dasar apabila Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 mencapai purata kejayaan 94 peratus, termasuk dalam aspek pertumbuhan ekonomi dan jaringan infrastruktur asas.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pencapaian ini turut diakui oleh Ketua Perangkawan Negara, Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin, yang menyatakan bahawa perdagangan Sabah kekal kukuh dengan jumlah dagangan melepasi paras RM100 bilion selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022.

“Ini membuktikan bahawa pelaksanaan Pelan SMJ bukan hanya berkesan di atas kertas, tetapi memberi impak terus kepada prestasi ekonomi negeri dan diiktiraf oleh institusi profesional di peringkat kebangsaan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, dalam Sesi Soal Jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata, kejayaan pelan itu turut disumbang oleh kerjasama erat antara sektor kerajaan, swasta dan masyarakat yang saling melengkapi dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan.

“Penglibatan sektor swasta amat menggalakkan, terutamanya dalam pelaburan domestik, penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan teknologi. Sebagai contoh, projek usaha sama antara agensi kerajaan negeri dan syarikat swasta dalam industri pertanian di Lingkungan, Beaufort bukan sahaja berjaya mengeksport nanas premium khususnya varieti MD2 ke Singapura, tetapi turut melaksanakan program sosial seperti pemerkasaan komuniti dan latihan kemahiran pertanian,” katanya.

Nizam turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri menyedari keperluan untuk memperkukuh penyertaan masyarakat dalam pembangunan, khususnya dalam aspek pembangunan modal insan dan pembasmian kemiskinan.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan berkaitan perancangan SMJ 2.0, beliau berkata pendekatan teknologi hijau akan menjadi salah satu fokus utama bagi memastikan pembangunan negeri seiring dengan matlamat kelestarian.

“Kerajaan telah mengambil pelajaran daripada pelaksanaan SMJ 1.0 antaranya keperluan penyelarasan dasar merentas agensi dan pentingnya libat urus strategik dengan rakyat. Justeru, SMJ 2.0 akan memberi penekanan kepada integrasi teknologi hijau, peralihan tenaga bersih serta pengukuhan ekosistem pembangunan mampan,” katanya.

Setakat Mei 2025, sebanyak 366 daripada 467 inisiatif di bawah Pelan Pembangunan SMJ 1.0 telah mencapai pelaksanaan penuh 100 peratus, menjadikannya antara pelan pembangunan negeri paling progresif di Malaysia.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular