Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: “Kita buat kerja diam-diam, tapi ada hasil.” Itu reaksi Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berhubung persoalan penglibatan syarikat milik penuh Sabah dalam industri minyak dan gas, terutama susulan penganugerahan kontrak Mutiara Cluster kepada syarikat tersenarai dari Semenanjung oleh Petronas.
Menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini, Masidi berkata penglibatan Sabah dalam sektor itu bukan mustahil, namun perlu dilihat secara realistik berdasarkan kemampuan semasa.
“Saya tahu ramai yang tanya kenapa bukan SMJ Energy dan SIP (Sabah International Petroleum) yang dapat kontrak itu. Pertama, kita belum ada kepakaran dan keupayaan kewangan untuk turut serta dalam bidaan antarabangsa peringkat eksplorasi minyak, yang memerlukan modal berbilion ringgit.
“Tetapi, itu tidak bermakna Sabah tiada penglibatan langsung. Percayalah, SMJ ada peranan, skop penglibatan itu akan diumumkan tidak lama lagi. Ini baru peringkat awal pencarian (exploration), minyak pun belum kita dapat lagi,” katanya.
Masidi menjelaskan, perbezaan antara Sabah dan Sarawak dalam industri minyak dan gas turut perlu difahami secara kontekstual kerana negeri jiran itu telah lebih awal mempunyai struktur dan pengalaman lebih 100 tahun, sedangkan Sabah masih dalam peringkat ‘merangkak’.
“Saya harap Senallang melihat isu ini dalam perspektif lebih luas. Kita tidak boleh banding terus dengan Sarawak. Mereka sudah lama dalam bidang ini, kita baru bermula,” katanya.
Dalam nada tegas tetapi diplomatik, Masidi turut menjawab pertanyaan Shafie yang meminta penjelasan tentang pendirian Sabah dalam melindungi hak terhadap sumber asli serta peranan dalam sektor hiliran.
“Saya fikir, tidak ada apa yang diberi kepada Sarawak yang tidak diberikan kepada Sabah. Dasar kita sekarang terbit daripada perjanjian Commercial Collaboration Agreement (CCA) dengan Petronas. Kita ada hak dan jawatankuasa khas untuk menentukan penglibatan negeri.
“Bezanya kita buat kerja diam-diam ada hasil, ada orang lain cakap tapi hasil tiada,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa masa depan Sabah dalam industri minyak dan gas akan terus diperluas dengan pendekatan berfasa serta berlandaskan kemampuan sebenar.
“Saya tahu tentang industri ini walaupun saya baru. Tapi percayalah, kita sedang susun langkah. Insya-Allah, Sabah akan terus mendapat tempat sewajarnya dalam sektor ini,” katanya.