Kuala Lumpur : Usaha membanteras rasuah negara terus digerakkan secara proaktif apabila bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, melancarkan kempen anti-rasuah peringkat kebangsaan bertajuk ‘No Bribe. Clean Vibes’.
Kempen itu dilancarkan di Saito University College iaitu sebuah institusi terkemuka dalam bidang pendidikan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia.
Program itu turut diinisiatifkan oleh Amlac Academy di bawah kepimpinan Tan Sri Dzulkifli sendiri selain memberi fokus kepada pemerkasaan generasi muda melalui pendidikan integriti, akauntabiliti dan kesedaran anti-rasuah.
“Cara terbaik untuk kita memerangi rasuah adalah dengan menyebarkan kesedaran kepada golongan belia.
“Mereka adalah pemimpin masa depan. Kita mesti membekalkan mereka dengan ilmu berkaitan anti-rasuah agar mereka mampu menolak budaya ini dalam apa jua peranan yang mereka sandang nanti,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor II Saito University College Profesor Madya Lim Tou Boon.
Beliau turut menyatakan komitmen penuh universiti dalam mendukung kempen tersebut.
“Kami menyambut baik usaha murni Amlac Academy dalam menanam nilai integriti dalam kalangan pelajar. Universiti mempunyai tanggungjawab sosial untuk melahirkan graduan yang bukan hanya cemerlang akademik, tetapi juga utuh dari segi moral,” katanya.
Turut memberikan sokongan kepada kempen itu ialah tokoh-tokoh penting dalam arena penguatkuasaan negara seperti Datuk Izani Wan Ishak, bekas Pengarah Bahagian Siasatan Tadbir Urus SPRM dan Dato’ Zairol Hisham Abu Bakar, bekas pegawai kanan Bank Negara Malaysia serta Ketua Pegawai Operasi NRRET.
Kempen ini akan diteruskan dengan siri kesedaran Law & Order, di mana Dzulkifli akan menjelajah ke institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Sesi-sesi ini bakal menyaksikan beliau berdialog secara langsung bersama pelajar mengenai isu rasuah, pengubahan wang haram dan etika perkhidmatan.
Amlac Academy turut membuka peluang kerjasama kepada institusi pengajian tinggi, terutamanya yang menawarkan program dalam bidang undang-undang, perniagaan, kewangan, tadbir urus dan penguatkuasaan, untuk menjadi tuan rumah kempen “No Bribe. Clean Vibes.” di kampus masing-masing.
“Kami mahu kempen ini sampai kepada seramai mungkin pelajar di Malaysia. Institusi yang berminat boleh menghubungi Amlac Academy bagi menjayakan inisiatif ini bersama-sama,” kata Dzulkifli.
Kempen ini dilihat sebagai satu usaha konkrit dan segar dalam melahirkan generasi Malaysia yang berprinsip, bebas rasuah dan bersedia memikul tanggungjawab kepimpinan negara dengan berani dan beretika.