HomeUtama1,200km paip lama jenis AC akan diganti secara berfasa - Shahelmey

1,200km paip lama jenis AC akan diganti secara berfasa – Shahelmey

Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) merancang untuk menggantikan paip-paip air lama jenis asbestos cement (AC) sepanjang kira-kira 1,200 kilometer di seluruh negeri ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata program penggantian itu akan dilaksanakan secara berfasa memandangkan kos pelaksanaannya yang tinggi.

“Untuk makluman, di negeri Sabah kita mempunyai jaringan paip lama daripada jenis AC sepanjang lebih kurang 1,200 kilometer.

“Jabatan Air Negeri Sabah memang mempunyai perancangan untuk menggantikan paip-paip yang usang tersebut melalui program penggantian paip usang dan menaik taraf paip transmisi serta agihan di daerah seperti Keningau, Kota Kinabalu dan sebagainya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan ADUN Liawan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Tambah beliau, sejak tahun lepas, pihak Jabatan Air Negeri Sabah juga telah melantik kontraktor-kontraktor pembaikan bagi kerja-kerja membaiki paip-paip yang bocor dan rosak di seluruh zon di negeri Sabah.

“Ini adalah usaha kita untuk memperbaiki dan menggantikan paip-paip usang serta bocor yang sedang berlaku di beberapa kawasan di daerah ini,” katanya.

Sebelum itu, Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury, memaklumkan bahawa sebanyak 52 projek bekalan air sedang dan telah dilaksanakan oleh JANS melalui Program Pinjaman Mudah Persekutuan.

Daripada jumlah itu, katanya, 18 projek dilaksanakan di Bahagian Pantai Barat, 15 di Bahagian Pedalaman, 12 di Bahagian Tawau, lima di Bahagian Sandakan dan dua di Bahagian Kudat.

Beliau berkata, bagi perancangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bermula pada 2026, kementerian sedang meneliti pelantikan perunding untuk menjalankan kajian dan menyediakan pelan induk bagi seluruh daerah di Sabah.

“Kajian ini bertujuan bagi mengoptimumkan bekalan air terawat kepada seluruh komuniti, meliputi cadangan pelaksanaan strategi Grid Air di seluruh negeri,” katanya semasa menjawab soalan lisan ADUN Liawan mengenai pelan tindakan jangka panjang dalam menangani masalah bekalan air terawat di negeri ini.

Tambah beliau, kementerian turut mengemukakan senarai keutamaan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), termasuk penyelesaian isu bekalan air di daerah Tawau dan Sandakan; pelaksanaan Program Non-Revenue Water (NRW) secara holistik bagi daerah Keningau dan Beaufort; serta kerja penggantian paip lama di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Sandakan.

“JANS juga bercadang melaksanakan secara berfasa pembinaan Sistem Tangki Pra-Pemendapan di 22 Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh Sabah dalam tempoh RMK-13, tertakluk kepada kelulusan kementerian persekutuan,” katanya.

Selain itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut meluluskan tiga projek tambahan di bawah RMK-12, RP5 melibatkan daerah Kinabatangan, Beluran dan Pitas.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular