HomeUtama“Syukur Alhamdulillah, ini bantuan pertama kali” – Peniaga warga emas lega terima...

“Syukur Alhamdulillah, ini bantuan pertama kali” – Peniaga warga emas lega terima kanopi baharu

Read Time:1 Minute, 46 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: “Syukur Alhamdulillah… ini kali pertama makcik terima bantuan seperti ini dari kerajaan negeri” luah seorang peniaga warga emas, Murastuti Mahmud, 68, selepas menerima sumbangan kanopi baharu yang disalurkan melalui program bantuan usahawan oleh pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan.

Murastuti yang telah lama berniaga di sekitar Tawau, termasuk di Takada dan kini di Tamu Sabindo, berkata beliau kini lebih selesa untuk meneruskan perniagaan makanan dan minuman bersama suaminya.

“Sebelum ini makcik guna kanopi sendiri, tapi sudah rosak dan bocor. Sekarang, senang sudah berniaga dengan kanopi baharu ini.

“Makcik dapat bantuan ini selepas memohon melalui ketua kampung kepada pejabat ADUN Kukusan,” katanya ketika ditemui Chronivo selepas majlis penyerahan kanopi oleh ADUN Kukusan, Datuk Rina Jainal, di sini semalam.

Murastuti kanan) menyusun jualan makanan di gerainya di tapak pasar Sabindo, Tawau. Foto Chronivo/ Sitti Nor Azizah Talata

Murastuti memberitahu, beliau dan suaminya sebelum ini pernah berniaga sayur-sayuran dan kuih-muih untuk menyara keluarga dan membesarkan empat orang anak.

Sementara itu, Rina berkata sumbangan kanopi itu adalah sebahagian daripada inisiatif pihaknya yang telah memperuntukkan lebih 100 kanopi kepada usahawan kecil di kawasan berkenaan sejak program itu dilancarkan tiga tahun lalu.

“Ini adalah usaha kecil kita untuk menyantuni usahawan yang kita rasakan layak, terutama mereka yang belum pernah menerima bantuan kerajaan sebelum ini. Hari ini kita serahkan lima lagi kanopi kepada peniaga pasar minggu termasuk di Tamu Sabindo yang kanopi mereka sudah rosak,” katanya.

Beliau berkata saringan dilakukan melalui kerjasama dengan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) termasuk dari Kampung Airport Lama dan Kampung Seri Menanti bagi memastikan hanya peniaga yang benar-benar layak menerima bantuan.

Antara syarat utama penerima adalah memiliki lesen perniagaan, selain penilaian keperluan oleh pemimpin akar umbi dan pegawai setempat.

“Program ini sangat memberi manfaat, bukan hanya kepada warga emas seperti makcik Murastuti, tetapi juga kepada golongan belia, wanita dan ibu tunggal. Ini antara usaha kita membantu mereka membina keusahawanan yang mampan,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk meneruskan program ini agar lebih ramai usahawan kecil yang layak dapat dibantu, terutama dalam kalangan penduduk Kukusan yang baru menceburi bidang perniagaan.

RELATED ARTICLES
Utama

GLC dan syarikat swasta bantu mangsa banjir di Sipitang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular