HomeUtamaTidak sangka surat tawaran sampai terus ke depan pintu rumah - Nurul

Tidak sangka surat tawaran sampai terus ke depan pintu rumah – Nurul

Read Time:2 Minute, 14 Second

Kota Belud : Impian seorang pelajar, Siti Nurul Hezrie Saibi, untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang menjadi antara cita-citanya tercapai apabila ditawarkan memasuki Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang Asasi Teknologi Maklumat.

Tawaran bagi memasuki UMS itu disampaikan sendiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud di kediamannya menerusi program Jejak Dermasiswa Kota Belud terus ke rumah pelajar.

Nurul berkata, beliau mengakui rasa teruja dan bangga apabila dapat memasuki program yang diminati dan berterima kasih kepada pihak terlibat khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Mustapha (kiri) bersama keluarga Nurul dan pengurusan UMS pada majlis penyerahan surat tawaran di kediamannya di Kota Belud – Foto UMS

“Ini memang cita-cita saya sejak dulu, mahu jadi pakar dalam bidang keselamatan siber dan saya amat berterima kasih kepada KPT kerana bukan saja mengambil berat tentang kami yang duduk jauh di pedalaman, tapi turut membantu memudahkan laluan kami ke menara gading.

“Lebih saya tidak menyangka apabila surat tawaran ini diserahkan sendiri oleh Timbalan Menteri. Saya dan ibu terkejut dan sangat bersyukur. Sekurang-kurangnya saya tahu ada bantuan disediakan dan saya lebih yakin untuk sambung belajar,” katanya.

Beliau merupakan antara pelajar yang menerima surat tawaran kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Mustapha ketika ditemui berkata, seramai 9,532 tawaran di seluruh negara namun hanya lebih kurang 3,000 yang menerima dan bakinya perlu dijejaki.

“Jadi itu yang kita buat dulu model di daerah Kota Belud ini supaya kita boleh aplikasikan ke daerah-daerah lain di Sabah dan juga seluruh negara.

“Kita mahu jejaki ke mana yang 6,000 ini. Kenapa mereka tidak mengesahkan? Kita takut mereka tidak faham. Tidak perasan pun dia ada tawaran Dermasiswa.

“Ini merupakan inisiatif kita di peringkat kementerian supaya kita boleh sedarkan masyarakat, ibu bapa dan pelajar supaya mereka lihat kembali surat tawaran mereka, sahkan tawaran dan di situ mereka ada tawaran, pilihan bahawa mereka ada terima Dermasiswa B40,” katanya.

Inisiatif tersebut mendapat kerjasama melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (UPU), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjejaki golongan B40 dari rumah ke rumah.

Menurutnya, inisiatif ini merupakan yang pertama seumpamanya, sekali gus mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI hari ini.

Sementara itu, Mustapha berkata seramai 25 pelajar di Kota Belud layak menerima Dermasiswa, hanya lapan yang mengesahkan tawaran.

Justeru, KPT turun padang bagi menjejaki 17 kediaman pelajar lagi bagi memberi penjelasan dan galakan untuk menyambung pengajian.

“Mereka tidak faham. Ibu bapa sendiri tidak faham bahawa sebenarnya mereka dapat Dermasiswa ini walaupun tidak diminta tetapi JPA menganalisa mereka.

“Mungkin mereka tersenarai dalam E-Kasih dan itu yang terus automatik diberi Dermasiswa,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular