Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri amat menekankan kepentingan memperluas capaian digital kepada semua lapisan masyarakat di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah yakin usaha itu dapat dipercepatkan termasuk di kawasan luar bandar dan dengan sokongan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada Menteri Digital Malaysia, Gobind Singh Deo di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini pada Khamis.
Katanya, transformasi digital adalah antara komponen utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Kunjungan itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja rasmi Gobind ke Sabah, termasuk menghadiri Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) Negeri.

Hajiji menyambut baik kunjungan tersebut dan menzahirkan penghargaan kepada Gobind Singh atas komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menyokong agenda digital negeri.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd.Hanafiah Mohd.Kassim.