Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Rayuan yang bersidang di sini menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya dengan hukuman penjara seumur hidup, kerana mengedar dadah.
Tiga panel hakim iaitu Dato’ Azman Abdullah, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Noorin Badaruddin, sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan terhadap Ang Eng Khong, 42, selepas membenarkan rayuan Ang terhadap hukuman tersebut.
Ang kini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selama 30 tahun bermula dari tarikh tangkapannya pada 31 Oktober 2018, serta 12 sebatan.
Pada 6 Februari 2023, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman mati ke atas Ang selepas didapati bersalah mengedar 1,746.8 gram syabu.
Ang didapati bersalah mengedar syabu itu di Taman Awam Teluk Likas pada 31 Oktober 2018.
Dia dibicarakan penuh atas pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika disabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Hamid Ismail yang mewakili Ang antara lain memaklumkan bahawa surat representasi anak guamnya telah diterima pihak pendakwaan.
Hamid menjelaskan bahawa representasi itu bertujuan menggantikan hukuman mati kepada penjara seumur hidup selaras dengan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.