Kota Kinabalu: Generasi Penderma Darah Muda (Gen 20:25) yang menyasarkan golongan belia dilancarkan sempena Sambutan Majlis Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2025.
Ketua Penolong Pengarah (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr. Nicholson Jacob berkata, program Gen 20:25 adalah kempen yang menggalakkan golongan belia mendermakan darah sebanyak 20 kali sebelum atau pada usia 25 tahun.
“Ia merupakan satu program baharu yang menyasarkan penglibatan aktif golongan belia antaranya seperti mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi.
“Seramai empat orang belia telah berikrar untuk menjadi antara yang pertama menyertai program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Gen 20:25 di Kompleks Sukan Likas, di sini pada Sabtu.
Nicholson juga menjelaskan program tersebut antara lain bertujuan untuk mencari pelapis kepada golongan penderma darah tegar bagi menyumbang darah secara konsisten.

“Sekiranya mereka dapat menderma darah setiap tiga bulan sekali ini juga dapat memastikan bekalan darah stabil dan mencukupi.
“Selain itu, menerusi program ini amalan budaya hidup sihat juga dapat diterapkan dalam kalangan belia secara tidak langsung memandangkan seorang penderma darah lahir daripada individu yang sihat,” katanya.
Pelbagai program turut diadakan sempena sambutan terbabit antaranya fun walk, zumba, kuiz, forum, ceramah kesihatan, pertandingan mewarna kanak-kanak, permainan sukan rakyat, serta pameran dari pelbagai agensi.