KOTA MARUDU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun mengingatkan jentera Wanita GRS agar bukan sahaja bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), malah mempertahankan maruah serta masa depan rakyat Sabah daripada diceroboh pihak luar.
“PRN17 bukan sekadar soal menang kerusi. Ia tentang maruah kita sebagai rakyat Sabah. Rumah kita, kita jaga. Jangan sampai ada pihak luar yang masuk menceroboh,” tegas beliau semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran G10 DUN Bandau di Dewan Komuniti Kota Marudu, semalam.
Beliau turut menyeru semua ahli Wanita Gagasan Rakyat di seluruh negeri agar memperkukuh gerak kerja akar umbi serta memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan kemenangan GRS dan kesinambungan kestabilan negeri.
“Kita tidak boleh leka. Jentera wanita mesti siap siaga di setiap kawasan. Kekuatan sebenar GRS terletak pada keikhlasan perjuangan dan semangat setiakawan di semua peringkat,” katanya.
Azizah turut memuji pencapaian kerajaan negeri di bawah pimpinan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang disifatkannya sebagai stabil dan progresif.
“Kita semua mesti memastikan kecemerlangan ini berterusan. Kerajaan GRS telah membuktikan keupayaan dan kita mesti pertahankannya,” tambahnya.
Beliau turut menekankan pentingnya semangat berpasukan, kesetiaan kepada pemimpin serta saling menghormati antara ahli sebagai asas kekuatan dan kestabilan parti.
“Kita tidak akan mampu menang jika bergerak secara individu. Kita mesti bersatu, setia kepada ketua yang satu, dan saling hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda turut menyeru agar jentera G10 Wanita terus diperkukuh sebagai persiapan rapi menjelang PRN-17.
Beliau juga mengingatkan ahli agar tidak leka dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar yang cuba memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan GRS.