Sook : Tamu Monggorimot di sini yang telah menjadi nadi ekonomi penduduk luar bandar sejak 1992, kini berwajah baharu selepas menerima peruntukan RM500,000 daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menaik taraf kemudahan dan pengurusannya.
Majlis perasmian tamu berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup seterusnya menyerahkan bangunan berkenaan kepada Persatuan Penjaja dan masyarakat di kawasan berkenaan.
Arthur berkata, projek itu dibangunkan bagi mengantikan bangunan yang telah uzur dan kini dilengkapi dengan pelbagai fasiliti lebih selesa dengan lampu, bilik stor, bilik air dan berpagar.

“Kawasan sekitar ini sedang membangun dengan pesat. Jalan raya yang baharu ke Daerah Tongod pun hampir siap, sekolah SMK Trusmadi juga akan beroperasi tidak lama lagi.
“Selain itu, beberapa menara telekomunikasi sudah dibina untuk meningkatkan rangkaian internet, dan beberapa projek pelancongan sudah dan sedang dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan kita di sini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, semua itu adalah perancangan pembangunan yang telah dimulakan beberapa tahun lalu bagi mentransformasikan kawasan berkenaan.
Pada majlis itu, Arthur turut mengadakan sesi penyerahan peralatan perniagaan kepada usahawan tempatan dan menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara FAMA dan Jawatankuasa Penduduk Monggorimot serta lawatan ke gerai-gerai usahawan.

Tamu Monggorimot beroperasi setiap hari Sabtu dari jam 6 pagi hingga 12 tengah hari dengan penyertaan sekitar 60 orang peniaga yang menjual pelbagai produk termasuk makanan, minuman, hasil pertanian, ikan sungai dan laut, ayam serta daging.
Penubuhan tamu ini bertujuan untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar, menyediakan platform pemasaran terus tanpa kebergantungan kepada orang tengah, serta memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan komuniti setempat.
Selain itu, pasar tamu ini juga berperanan penting dalam memelihara warisan budaya masyarakat tempatan, selain menyumbang kepada dasar keterjaminan makanan negara melalui penawaran hasil tani segar dan tempatan.
Sejak tahun 2017, FAMA telah melaksanakan penaiktarafan lapan pasar tamu di Sabah termasuk di Keningau, Kudat, Kunak, Beluran, Tuaran, Telupid, Kinabatangan dan Sook – menjadikan Tamu Monggorimot antara pencapaian terkini dalam usaha ini.
FAMA komited untuk terus menyokong pembangunan ekonomi luar bandar dan memperkukuh jaringan pemasaran hasil tani di seluruh negara.
Dengan lokasi strategik di laluan penghubung antara Pekan Sook dan Telupid serta berlatarbelakangkan Gunung Trusmadi, Tamu Monggorimot kini bersedia menjadi pusat jual beli mingguan yang aktif serta berimpak tinggi kepada komuniti setempat dan sekitar. – Chronivo