KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Junz Wong berhubung isu kawalan bekalan Gas Petroleum Cecair (LPG) sebagai bermotif politik dan satu cubaan mengelirukan rakyat.
Menurut Armizan, tuduhan yang dilemparkan oleh wakil rakyat Warisan itu tidak berasas apabila mengaitkan pelaksanaan peraturan sedia ada dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sedangkan isu berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Kenyataan tersebut jelas bermotif politik dan merupakan cubaan untuk mengelirukan rakyat. Ini kerana beliau secara tidak bertanggungjawab meletakkan tuduhan terhadap Kerajaan Negeri dan GRS serta mengaitkannya dengan pilihan raya negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Armizan turut menjelaskan bahawa peraturan berkenaan bukan dasar baharu di bawah Kerajaan MADANI, sebaliknya Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang telah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021, semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.
Beliau berkata, dokumen yang didakwa sebagai notis kompaun oleh Junz juga sebenarnya adalah Kenyataan Pemeriksaan Premis, iaitu dokumen standard yang digunakan semasa pemeriksaan rutin oleh penguat kuasa KPDN.
“Ia bukanlah dokumen kompaun kesalahan seperti yang didakwa, sebaliknya digunakan untuk pemeriksaan pematuhan undang-undang termasuk semakan tanda harga, alat timbang sukat dan Permit Barang Kawalan,” jelasnya.
Mengenai dakwaan kononnya gerai makanan dan peniaga kecil terkesan dengan syarat permit LPG, Armizan berkata keperluan permit hanya tertakluk kepada pihak yang menyimpan melebihi 42 kilogram LPG (tiga tong LPG 14kg) pada satu-satu masa.
“Saya tidak fikir banyak kedai makan, apatah lagi gerai burger yang disebut beliau, menyimpan atau menggunakan LPG melebihi had itu, kecuali premis berskala besar,” katanya.
Beliau turut membidas dakwaan bahawa peraturan tersebut akan menyebabkan beban kos ditanggung rakyat, sebaliknya menegaskan subsidi LPG datang daripada dana awam termasuk sumbangan pembayar cukai.
“Adalah tidak wajar semua kos perniagaan, termasuk perniagaan berskala besar, ditanggung melalui duit rakyat,” tegasnya.
Menurut Armizan, subsidi LPG telah mencecah RM3.4 bilion pada tahun 2024 dan ia adalah subsidi kepenggunaan, bukan subsidi perdagangan.
Beliau turut mencabar Junz untuk mengemukakan sebarang kes khusus berhubung perniagaan kecil yang benar-benar terkesan agar pihaknya dapat membuat semakan sewajarnya.