Kota Kinabalu : Pembangunan mampan melalui konsep Geopark merupakan satu konsep pembangunan yang mengintegrasikan pemeliharaan warisan geologi, pendidikan awam dan pembangunan sosioekonomi komuniti secara mampan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew berkata, ia juga merupakan pendidikan tentang sejarah bumi budaya tempatan dan nilai kelestarian.
Selain itu katanya, Geopark turut memainkan peranan penting dalam melindungi geowarisan, memupuk kesedaran alam sekitar selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat melalui geo-pelancongan.
“Konsep geopark di Malaysia telah berkembang pesat sejak pengiktirafan Langkawi UNESCO Global Geopark pada 2007 yang merupakan Geopark pertama di Asia Tenggara mendapat pengiktirafan daripada UNESCO.
“Perkembangan ini diteruskan dengan kejayaan Kinabalu Geopark di Sabah yang telah diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark pada tahun 2023, menjadikan Malaysia antara negara yang memiliki lebih daripada satu Geopark bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan Jaringan Geopark Malaysia di sini pada Khamis.
Christina berkata, selain dua Geopark bertaraf UNESCO, Malaysia kini mempunyai sebanyak 12 Geopark kebangsaan yang telah diiktiraf oleh Jawatankuasa Geopark Kebangsaan.
Katanya, Geopark terlibat menampilkan keunikan geologi, biodiversiti dan warisan budaya tersendiri.
Menurutnya, usaha itu memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas dunia dalam bidang pemeliharaan geowarisan dan memperkasakan pembangunan mampan di peringkat nasional dan global.
“Keunikan geologi dan budaya serta kepelbagaian ekosistem di negara kita memberi potensi besar kepada lebih banyak kawasan untuk dikembangmam sebagai Geopark pada masa akan datang.
“Geopark bukan sekadar suatu pengiktirafan semata-mata, tetapi ia membawa tanggungjawab yang besar,” katanya. – Chronivo