Putrajaya: Polis sedang menyiasat secara terperinci kemungkinan Datin Seri Pamela Ling melarikan diri ke luar negara selepas dilaporkan diculik pada 9 April lalu.
Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed, berkata siasatan lanjut kes berkenaan masih diteruskan.
“Polis akan merakam keterangan anak-anak Pamela serta saksi berkaitan di Kedutaan Malaysia di Singapura dalam masa terdekat.
“INTERPOL sedang menguruskan proses berkenaan. Setakat ini, 27 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aidi berkata, siasatan setakat ini juga tidak menemui suspek lain yang dipercayai terlibat, selain daripada lapan individu yang telah dikenal pasti sebelum ini.
Ditanya sama ada polis perlu memantau pintu sempadan bagi mengelakkan percubaan membawa Pamela keluar dari negara ini Aidi menjelaskan, pergerakan Pamela telah pun dihadkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan terhadapnya dijalankan.
Media sebelum ini melaporkan bahawa keterangan anak-anak Pamela, yang masih hilang, akan dirakam di Kedutaan Malaysia di Singapura dengan urusan sedang diatur oleh INTERPOL.
Polis Malaysia dilaporkan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa antarabangsa bagi melancarkan proses berkenaan.
Peguam Pamela sebelum itu juga telah meminta polis meningkatkan usaha bagi mengesan beliau.
Datuk N Sivananthan menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan anak guamnya yang telah hilang sejak 9 April.
Beliau berkata anak guamnya, yang sedang membantu siasatan SPRM dalam kes pengubahan wang haram, mempunyai tiga anak – dua daripadanya masih di bawah umur.
Terdapat juga laporan bahawa Pamela dan suaminya, seorang ahli perniagaan dari Sarawak yang kini dalam proses perceraian yang rumit melibatkan harta bernilai besar, sedang disiasat oleh SPRM.