Lahad Datu : Cubaan sebuah bot untuk melarikan diri dari pihak berkuasa gagal apabila berjaya dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dalam rondaan malam semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot itu ditahan sekitar jam 10.30 malam di kedudukan tiga batu nautika selatan Tanjung Batu semasa rondaan Operasi Pluto Timur 2/2013 dan Operasi Tiris 3.0.
“Bot kayu berwarna biru putih itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota Maritim Malaysia.
“Berlaku aksi kejar-mengejar selama hampir sepuluh minit sebelum bot berjaya dipintas,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dzulfikhar berkata, pemeriksaan mendapati, terdapat dua lelaki warga Filipina masing-masing berusia 41 dan 34 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri, bersama seorang lagi pemastautin sementara berusia 41 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 17 gelen cecair disyaki minyak petrol dan 51 paket minyak masak satu kilogram dengan nilai anggaran keseluruhan mencecah RM80 ribu,” katanya.
Menurutnya, semua kru dan barangan dirampas serta dibawa ke Jeti Maritim Felda Sahabat untuk siasatan lanjut.
Tambahnyaagi, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit sah, Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan pasport yang sah, dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
“Orang ramai digesa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau insiden di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-9305727 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – Chronivo / FOTO MARITIM MALAYSIA