HomePolitikPRN17 : GRS sedia tanding secara solo, fokus kerjasama parti tempatan

PRN17 : GRS sedia tanding secara solo, fokus kerjasama parti tempatan

Read Time:1 Minute, 16 Second

Kota Kinabalu : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, parti-parti tempatan harus menjadi tonggak kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, GRS berpegang kepada prinsip bahawa kerajaan negeri Sabah seharusnya dipimpin oleh parti tempatan yang memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat tanpa mengetepikan peranan dan kepentingan parti-parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas.

“Sekiranya keputusan muktamad Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah untuk bekerjasama dalam PRN akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan. 

“Menyimpang daripada prinsip ini bermakna kita mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, gabungan parti tempatan itu terus memperjuangkan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat demi masa depan Sabah.

“Seperti yang sering saya tekankan, Kerajaan Negeri hari ini perlu terus diperkukuhkan kerana ia membawa kestabilan dan mewakili satu bentuk kerjasama yang menyumbang kepada kekuatan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan. 

“Mengenepikan aspirasi tempatan dalam konteks politik Sabah adalah tidak selari dengan sentimen rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, GRS akan mengadakan mesyuarat kepimpinan dalam masa terdekat untuk menetapkan hala tuju gabungan ini dalam menghadapi PRN yang akan datang.

Katanya, GRS juga akan mengadakan perbincangan rasmi dengan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri semasa untuk mendapatkan pandangan dan pendirian mereka. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular