Oleh Normimie Diun
PUTATAN: Pelajar perlu bijak mendepani cabaran dunia digital tanpa sempadan, khususnya apabila melangkah ke alam pengajian tinggi yang menuntut ketahanan mental, kematangan berfikir dan keupayaan menilai pergaulan yang semakin terbuka.
Timbalan Ketua Menteri Sabah lll, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, meskipun pencapaian cemerlang dalam peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu diraikan, pelajar juga harus bersedia dari segi emosi dan mental dalam mendepani tekanan serta pengaruh luar.
Beliau turut menyatakan bahawa dunia tanpa sempadan dan era digital memberikan pendedahan yang lebih meluas. Oleh itu, generasi masa kini perlu bijak bergaul serta mempunyai pertimbangan yang jelas dalam membezakan antara yang baik dan yang tidak baik.
“Dunia mereka kini sangat terbuka, maklumat datang tanpa sempadan. Jadi mereka perlu menggunakan daya pemikiran untuk membezakan antara yang positif dan yang negatif.
“Saya juga nasihatkan mereka agar bijak mengawal tekanan, terutamanya semasa menyediakan tugasan, menghadapi peperiksaan atau menyusun kehidupan peribadi. Jika berhadapan tekanan, jangan tanggung sendiri. Rujuk ibu bapa, rakan atau kaunselor,” kata Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2024 Parlimen Putatan yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Pan Borneo, di sini, pagi tadi.
Seramai 49 pelajar cemerlang yang memperoleh 8A hingga 10A dalam SPM 2024 menerima penghargaan dalam bentuk sumbangan daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Putatan.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pelajar-pelajar cemerlang ini merupakan aset penting negara dan diharapkan mereka dapat meneruskan kecemerlangan bukan sahaja di peringkat pengajian tinggi, malah apabila melangkah ke alam kerjaya kelak.
Mengulas isu lebih 900 pelajar di Sabah yang tidak hadir menduduki peperiksaan SPM 2024, Shahelmey menyifatkan situasi itu amat membimbangkan dan perlu ditangani segera.
“Sebenarnya kerajaan Sabah mempunyai banyak inisiatif dan insentif yang berupa bantuan-bantuan untuk memudahkan proses pembelajaran di negeri Sabah.
“Isu ketidakhadiran pelajar itu adalah disebabkan oleh beberapa faktor ada kemungkinan masalah disiplin ada juga yang mungkin disebabkan oleh kekangan kewangan, jadi dari sudut kekangan kewangan ini kita ingin berpesan kepada ibu bapa sepatutnya cakna dan ambil tahu mengenai kemudahan ini.
“Jika ia berkait kekangan kewangan, berbincanglah dengan pihak sekolah atau pemimpin setempat untuk mendapatkan bantuan. Kita mahu pastikan tiada pelajar tercicir semata-mata kerana kemiskinan,” ujarnya.
Tambah Shahelmey lagi, kerjasama antara ibu bapa dan pihak sekolah amat penting dalam memastikan pelajar kekal dalam sistem pendidikan dan tidak tersisih akibat isu disiplin mahupun masalah ekonomi.