Kota Kinabalu : Situasi banjir di Sabah terus menunjukkan peningkatan dengan seramai 1,592 mangsa daripada 482 keluarga telah dipindahkan ke tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga jam 12 tengah hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, daerah Sook dan Beaufort mencatatkan peningkatan jumlah mangsa paling tinggi, manakala Sipitang kekal dengan angka sama.
Kawasan Sook sahaja merekodkan 1,345 orang daripada 406 keluarga, dengan lima PPS dibuka, termasuk Dewan Masyarakat Sook dan Dewan Datuk Ellron Angin, yang kini menempatkan lebih 1,300 mangsa secara keseluruhan.
Beaufort pula mencatatkan seramai 221 mangsa daripada 66 keluarga yang kini berlindung di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon.
Manakala di Sipitang, meskipun tidak mencatatkan peningkatan, masih mempunyai 26 mangsa dari 10 keluarga yang ditempatkan di Dewan SK Padang Berampah. – Chronivo / FOTO APM SABAH