Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret melepas tanpa membebaskan (DNAA) seorang lelaki yang didakwa mencederakan anak perempuannya.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali memberikan DNAA kepada Jackson Koh Kok Fah, 56, selepas dimaklumkan oleh pihak pendakwaan berhubung arahan terbaharu untuk memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan.
Jackson didakwa melakukan kesalahan itu terhadap anak perempuannya yang berusia 22 tahun dengan membaling seunit hard disk komputer sehingga menyebabkan anaknya cedera pada 5 Ogos 2023, jam 2 petang, di sebuah rumah di Kg Tunoh, Penampang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326A, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum, iaitu dua tahun, atau dengan denda yang boleh sampai RM4, 000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, mangsa telah memberi keterangan di mahkamah dan menyatakan hasrat untuk menarik balik laporan polis terhadap bapanya. Bagaimanapun, tarikh perbicaraan telah pun ditetapkan untuk hari ini.
Menurut peguam Sylvester Kuan yang mewakili tertuduh, mangsa kemudian menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) menyatakan keengganannya untuk meneruskan kes tersebut, yang akhirnya membawa kepada keputusan DNAA oleh mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan Muhammad Munir Khan mengendalikan pendakwaan.